INTEGRITI TERAS KEKUATAN UMMAH
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya menyeru dan berpesan
kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama
meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala
suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan
di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “Integriti Teras
Kekuatan Ummah”.
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Menjadi
sunatullah setiap detik, saat, masa akan berlalu. Hari akan berganti hari,
tahun akan berganti tahun, tanpa kita sedar 2011 akan meninggalkan kita. Begitulah
lumrah alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Umur dunia kini semakin
meningkat tua. Setiap masa lanskap muka bumi kita terus menerus mengalami
perubahan pesat kerana penguasaan tinggi manusia dalam bidang sains dan
teknologi. Sungguh pun begitu, di sebalik perubahan tadi hakikatnya nilai
integriti manusia sejak dulu hingga kini pada dasarnya adalah sama dan sering menjadi isu dalam
masyarakat dunia.
Menurut tafsiran, integriti bermaksud
kejujuran, keikhlasan, kesempurnaan atau keutuhan. Secara kasarnya manusia yang
berintegriti adalah merujuk kepada sifat
jati diri terpuji yang perlu ada pada manusia seperti ikhlas, jujur, amanah,
berpegang pada janji, tidak mudah dipengaruhi, bercakap benar dan sifat-sifat
positif yang lain. Manusia yang mempunyai integriti adalah sifat yang tidak
boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kewujudannya yang
dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tiin ayat 4:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
Berdasarkan ayat ini, kita memahami
bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT kerana pada
fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang berfikiran waras, rasional, tepat,
kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang baik dan buruk. Mengulas
perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa
manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap
dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu,
pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini
memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi
sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Kepentingan umat manusia menjaga
fitrah diri ini sememangnya mendapat perhatian serius daripada Rasulullah SAW
dalam sabda Baginda iaitu:
Mafhumnya: “Setiap anak yang
dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang
menentukan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi”
( Riwayat Ahmad)
Muslimin
Yang Dikasihi Sekalian,
Manusia yang
hilang integriti dari segi zahir atau batin akan merosakan hubungannya dengan
Allah SWT, sesama manusia, dan dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan,
tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran. Dalam al-Quran telah dirakamkan
beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim,
penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun.
Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang
rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka
bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat
Nabi Hud. Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat
dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT,
maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.
Berdasarkan kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang
tercemar integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah. Mohamad
Qutb dalam bukunya 'Masyarakat Islam' menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah
iaitu: (1) Syirik dalam ibadah; (2) Wujud sikap menjauhi agama Allah; (3) Wujud
Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi
hukum Allah; dan (4) Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa
nafsu.
Muslimin
Yang Dikasihi Sekalian,
Tanpa berpandu
dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, agak sukar umat Islam melahirkan
manusia yang berintegriti. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya
mengeluarkan umat Islam daripada kepompong jahiliyah. Dari sini mereka
benar-benar bertanggungjawab sebagai khalifatullah yang cemerlang. Firman Allah
SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110:
Maksudnya: “Kamu adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu
menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar,
serta kamu pula beriman kepada Allah.”
Dalam ayat ini, Allah SWT memuji umat
Islam yang menjadi ikon bagi umat yang lain. Ini kerana umat Islam
adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia lain dengan
menyeru ke arah kebaikan dan melarang melakukan kejahatan. Mengapa Allah SWT
memberi penghargaan tinggi kepada umat Islam?. Tidak lain ia disebabkan oleh
nilaian prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri. Allah
SWT amat menyukai umat Islam yang cantik integriti zahir dan batinnya. Jika
umat Islam memiliki kesempurnaan integriti zahir dan batin sudah pasti ia akan
menjadi ikutan bangsa dan kaum yang lain.
Islam tidak menghendaki umatnya hanya
kelihatan cantik di luar sahaja tetapi batinnya hodoh. Persoalan besar timbul
ialah bagaimana kita boleh mewujudkan keindahan integriti zahir dan batin?.
Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesungguhnya yang
halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya pula
terdapat perkara syubhah (tidak jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan
manusia.” (Riwayat Muslim).
Selain itu, dalam ilmu fekah telah menetapkan terdapat hukum wajib, haram,
harus, sunat dan makruh. Ia bertujuan supaya batas-batas halal dan haram, dapat
dipatuhi bagi mencantikan integriti zahir dan batin kita. Kesempurnaan
integriti manusia adalah tanda-tanda orang yang bertaqwa. Oleh sebab itu dalam
setiap solat Jumaat, khatib sering memberi peringatan supaya umat Islam
sentiasa meningkatkan sifat taqwa agar umat Islam menjadi umat yang sempurna akidah,
akhlak, moral dan kukuh integritinya. Peringatan tegas yang diberi oleh khatib
di dalam masjid yang mulia itu menunjukan sifat taqwa itu menjadi nadi utama
kekuatan martabat dan maruah manusia.
Muslimin
Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, bertepatan dengan hari Jumaat terakhir pada tahun ini
dan bersempena dengan tahun baru 2012, maka mimbar menyeru sidang jemaah
sekalian, marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri kita dengan merenung
kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang berlalu, di manakah
kedudukan kita yang sebenarnya, adakah di landasan kebenaran atau masih lagi
bergelumbang dengan onak dan duri kemaksiatan. Ingatlah bahawa Allah SWT
menghitung segala perbuatan kita di dunia ini. Marilah kita memperkukuhkan
integriti kita samada dalam diri, organisasi dan keluarga dengan menjauhi
segala amalan jahiliyah yang menyesatkan. Semoga dengan itu kita beroleh keredhaan Allah
SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al Israa ayat
9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul,
dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal
salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan