“ KEUNGGULAN
KEPIMPINAN RASULULLAH SAW ”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri
saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama
kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan
segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk
kita menjadi insan soleh. Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul SAW pada
tahun ini maka mimbar akan membincangkan khutbah
bertajuk: “KEUNGGULAN KEPIMPINAN RASULULLAH
SAW”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin
yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi
atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang
ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang
akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah
SAW dalam sabdanya:
Mafhumnya: “Ingatlah!
Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab
terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia
sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah.
Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi
gelaran “al-Amin” kerana keunggulan Baginda dalam
memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran “ al-Amin”
ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar
masyarakat Quraish kepada Baginda.
Walau
bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Sebagai
contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan
Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak
meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan keunggulan dan maruah
kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.
Selain Abu Jahal,
al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak bermaruah
sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan
kepada keluarga, yang akhirnya
semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang
dilakukannya antaranya ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun.
Menurut Prof Dr
Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator,
mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa
dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat
pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi
Fir'aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun; manakala Qarun
pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada
pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan
mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain. kesemua
watak-watak pemimpin ini yang dirakamkan
di dalam al-Quran memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan ,
mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain, yang akhirnya
mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT di dunia dengan menjadi sehina-hina
manusia.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Setiap kali kita solat,
kita sering membaca al-Qur'an, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi
SAW. Semua ini adalah amalan Islam untuk mengukuhkan keunggulan dan jati diri umat
Islam selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang
dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang
jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia
yang rugi dan menipu diri sendiri.
Malahan keunggulan
seorang pemimpin berkait rapat dengan imej dan amalan individu itu sendiri. Lihat
sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu
sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di
dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! umatku!
umatku!. Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah keunggulan kepimpinan
Rasulullah SAW membawa kepada terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT .Sebagaimana
sabda Rasulullah SAW: “Kita (umat Muhammad) adalah yang
terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat.
Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih
dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka”.(Riwayat al-Bukhari).
Begitu juga umat
yang senantiasa mengingati Rasulullah SAW dengan bersalawat kepadanya akan
mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan
kebajikan, dimakbulkan berbagai do’a, mendapatkan syafa’at dan selamat dari
kebakhilan. Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang
Rasulullah SAW kepada umatnya senantiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di
hati sehingga ke akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar amat yakin,
kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan
suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 124:
Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika
Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan
larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman:
"Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat
manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!)
Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin
ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu
ini tidak akan didapati.”
Apa yang jelas, dalam
ayat ini bahawa kepimpinan bukan sekadar
perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan
perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT dan sebagai seorang pemimpin hendaklah
mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam
walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak
senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah dan
mengaibkan Rasulullah SAW dan umat
Islam. Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul SAW pada 5
Februari ni di Masjid Putra, Putrajaya dan lain-lain tempat seluruh negara, marilah
kita hadir bersama keluarga bagi menyemarakkan rasa kasih sayang kepada
junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai bukti mempertahankan martabat
Rasulullah SAW.
Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah
menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para
sahabat melalui langkah berikut: Pertama: Memantapkan urus tadbir negara,
masyarakat, dan keluarga dengan mencontohi Rasulullah SAW dan berpandukan
syariat Islam, Kedua: Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin
yang korup dan tidak beretika, ketiga: Mereka yang tiada integriti dan
akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada
hukuman Allah SWT pada hari akhirat, dan keempat: Pemimpin yang unggul akan lebih dihormati,
dikagumi dan disayangi oleh masyarakat. Mengakhiri khutbah pada minggu ini
marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2-3:
Maksudnya: “ Wahai
orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya. ”