Koleksi Khutbah Jumaat :
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri
saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama
kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan
segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “AWAS
JERAT VALENTINE”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Fenomena
sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai
perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama
kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger,
perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang
Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata
ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod
dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika
seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”,
maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu
perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini
kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama
dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama telah
menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah
bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian
Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan
bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada
22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine
tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan
perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana
ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi
ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah
yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan
di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar
tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang
sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif
seumpama ini terus berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat
Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi
tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup
yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji
kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat
119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan
mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka
membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.
Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari
Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar
beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka
tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”
Ayat ini mengisyaratkan bahawa
kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan
berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang
dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan
penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam sebagai
agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya.
Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan
oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada
batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina
berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat
dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat,
akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam
menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai
dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah
bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan
berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan
cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup
berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat
207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan
dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat
belas-kasihan akan hamba-hambanya.”
Pertama: ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya
kaum musyrik;
Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan
rasul-Nya;
Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram
dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima: meninggalkan
sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman
serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan
bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan
azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."