Klik je...

Memaparkan catatan dengan label Khutbah Jumaat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khutbah Jumaat. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Februari 2012

Koleksi Renungan - “ SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”

Koleksi Khutbah Jumaat :



“ SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Menurut sumber yang diambil dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bagi bulan Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru di kesan dalam masa sebulan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar berlakunya jenayah seperti mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi adalah berpunca daripada dadah. Ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran yang waras merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat 195 :



bermaksud: “ Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya. ”



Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23 November 2006 memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ekstasy dan ketamin, hukumnya adalah haram. Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakkan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan  ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakkan akibat dadah tidak terhad hanya pada seorang individu yang menjadi penagih sahaja akan tetapi kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara -mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah. Maka amat wajar sekali mimbar menyeru seluruh umat Islam, ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala jenayah.  Mimbar mengingatkan bahawa pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam usaha memerangi jenayah dan kemungkaran. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:



Maksudnya: “Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)



Berdasarkan hadith ini, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang  usaha ini ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:



Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.”



Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Mimbar ingin mengingatkan kepada penegak-penegak jenayah dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.  Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89:



Maksudnya: “Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.”



Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut  ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah  SWT mengutus berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi mereka yang terlibat dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:



Maksudnya: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.”



Mereka yang yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segalanya perbuatan itu di saat kematian. Masyaallah.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu  ummah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya. Sebagai ibu-bapa mimbar menyeru ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka dengan cara hidup yang sihat. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratul maut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar. Marilah kita memperbanyakkan beristiqfar semuga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenug firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:

bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua,Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. ”

Jumaat, 17 Februari 2012

Koleksi Renungan - “INTEGRITI TERAS KEKUATAN UMMAH”

Koleksi Khutbah Jumaat :



INTEGRITI TERAS KEKUATAN UMMAH

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan tajuk: “Integriti Teras Kekuatan Ummah”.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Menjadi sunatullah setiap detik, saat, masa akan berlalu. Hari akan berganti hari, tahun akan berganti tahun, tanpa kita sedar 2011 akan meninggalkan kita. Begitulah lumrah alam yang menjadi tempat tinggal kita selama ini. Umur dunia kini semakin meningkat tua. Setiap masa lanskap muka bumi kita terus menerus mengalami perubahan pesat kerana penguasaan tinggi manusia dalam bidang sains dan teknologi. Sungguh pun begitu, di sebalik perubahan tadi hakikatnya nilai integriti manusia sejak dulu hingga kini pada dasarnya  adalah sama dan sering menjadi isu dalam masyarakat dunia.

          Menurut tafsiran, integriti bermaksud kejujuran, keikhlasan, kesempurnaan atau keutuhan. Secara kasarnya manusia yang berintegriti adalah  merujuk kepada sifat jati diri terpuji yang perlu ada pada manusia seperti ikhlas, jujur, amanah, berpegang pada janji, tidak mudah dipengaruhi, bercakap benar dan sifat-sifat positif yang lain. Manusia yang mempunyai integriti adalah sifat yang tidak boleh dipisahkan dengan sifat kemanusiaan itu sendiri selari kewujudannya yang dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tiin ayat 4:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

          Berdasarkan ayat ini, kita memahami bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT kerana pada fitrahnya manusia adalah makhluk sosial yang berfikiran waras, rasional, tepat, kreatif, benar, dapat membuat penilaian antara yang baik dan buruk. Mengulas perkara ini, Dr Wahbah az-Zuhaily dalam Tafsir al-Munir menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian kerana diberikan anggota badan yang lengkap dan sempurna, makan dengan tangannya, mempunyai keistimewaan dengan ilmu, pemikiran, tutur bicara serta mampu mengurus kehidupan. Semua kelebihan ini memungkinkan manusia itu menjadi khalifah yang berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

          Kepentingan umat manusia menjaga fitrah diri ini sememangnya mendapat perhatian serius daripada Rasulullah SAW dalam sabda Baginda iaitu:

Mafhumnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi”
( Riwayat Ahmad)

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Manusia yang hilang integriti dari segi zahir atau batin akan merosakan hubungannya dengan Allah SWT, sesama manusia, dan dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan serta alam persekitaran. Dalam al-Quran telah dirakamkan beberapa individu yang tercemar integritinya seperti Firaun yang zalim, penasihat kanannya yang korup iaitu Haman dan Qarun yang mengampu Firaun. Begitu juga disebutkan beberapa kaum yang  rosak integriti kemanusiaannya lalu dihapuskan oleh Allah SWT dari muka bumi ini seperti kaum Thamud umat Nabi Saleh, umat Nabi Lut dan kaum Aad umat Nabi Hud. Pendedahan azab kaum-kaum tersebut di dalam al-Quran, berkait rapat dengan pencemaran integriti yang paling tinggi iaitu mensyirikkan Allah SWT, maka sewajarnya azab itu menjadi pengajaran kepada manusia.

Berdasarkan kesan buruk yang menimpa umat terdahulu, jelas bahawa kaum yang tercemar integritinya mempunyai kaitan dengan amalan seorang jahiliyah. Mohamad Qutb dalam bukunya 'Masyarakat Islam' menjelaskan terdapat empat ciri jahiliyah iaitu: (1) Syirik dalam ibadah; (2) Wujud sikap menjauhi agama Allah; (3) Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia agar jangan mematuhi hukum Allah; dan (4) Menjatuhkan hukuman secara tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Tanpa berpandu dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, agak sukar umat Islam melahirkan manusia yang berintegriti. Ini kerana kesan menghayati dua sumber ini berupaya mengeluarkan umat Islam daripada kepompong jahiliyah. Dari sini mereka benar-benar bertanggungjawab sebagai khalifatullah yang cemerlang. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110:

Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah.”

          Dalam ayat ini, Allah SWT memuji umat Islam yang menjadi ikon bagi umat yang lain. Ini kerana umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia lain dengan menyeru ke arah kebaikan dan melarang melakukan kejahatan. Mengapa Allah SWT memberi penghargaan tinggi kepada umat Islam?. Tidak lain ia disebabkan oleh nilaian prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh umat Islam itu sendiri. Allah SWT amat menyukai umat Islam yang cantik integriti zahir dan batinnya. Jika umat Islam memiliki kesempurnaan integriti zahir dan batin sudah pasti ia akan menjadi ikutan bangsa dan kaum yang lain.

          Islam tidak menghendaki umatnya hanya kelihatan cantik di luar sahaja tetapi batinnya hodoh. Persoalan besar timbul ialah bagaimana kita boleh mewujudkan keindahan integriti zahir dan batin?. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya pula terdapat perkara syubhah (tidak jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia.” (Riwayat Muslim).
         
Selain itu, dalam ilmu fekah telah menetapkan terdapat hukum wajib, haram, harus, sunat dan makruh. Ia bertujuan supaya batas-batas halal dan haram, dapat dipatuhi bagi mencantikan integriti zahir dan batin kita. Kesempurnaan integriti manusia adalah tanda-tanda orang yang bertaqwa. Oleh sebab itu dalam setiap solat Jumaat, khatib sering memberi peringatan supaya umat Islam sentiasa meningkatkan sifat taqwa agar umat Islam menjadi umat yang sempurna akidah, akhlak, moral dan kukuh integritinya. Peringatan tegas yang diberi oleh khatib di dalam masjid yang mulia itu menunjukan sifat taqwa itu menjadi nadi utama kekuatan martabat dan maruah manusia.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bertepatan dengan hari Jumaat terakhir pada tahun ini dan bersempena dengan tahun baru 2012, maka mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri kita dengan merenung kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang berlalu, di manakah kedudukan kita yang sebenarnya, adakah di landasan kebenaran atau masih lagi bergelumbang dengan onak dan duri kemaksiatan. Ingatlah bahawa Allah SWT menghitung segala perbuatan kita di dunia ini. Marilah kita memperkukuhkan integriti kita samada dalam diri, organisasi dan keluarga dengan menjauhi segala amalan jahiliyah yang menyesatkan.  Semoga dengan itu kita beroleh keredhaan Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al Israa ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” 

Koleksi Renungan -“MENGAWAL PINTU NAFSU”

Koleksi Khutbah Jumaat :




MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Bersempena dengan perhimpunan kita untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita beroleh kebahagian di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang kekal abadi, insya-Allah.Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “MENGAWAL PINTU NAFSU.”

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dalam kekecohan kita mendengar berita anak-anak muda masa kini terbabit dalam kegiatan maksiat yang berkaitan dengan seks bebas dan rambang maka penyelesaian yang diajar oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan adalah disebabkan kegagalan benteng dirinya untuk mengawal nafsu seks yang memuncak. Budaya berzina terus menjadi isu panas kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, kegiatan GRO, Rumah urut, kelab-kelab malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan oleh mereka yang belum pernah berkahwin. Hukuman keras yang dikenakan oleh Islam ini amat tepat kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

Pada hari Jumaat yang mulia ini mimbar mengingatkan bahawa pergaulan bebas adalah punca utama penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang menghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga mereka yang bukan muhrim berdua-duan di tempat yang sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:



Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”



Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun hawa nafsu hendaklah disalurkan secara halal iaitu melalui perkahwinn yang sah. Hadith dari Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang munkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah”. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah,“ adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala?. Rasulullah bersabda “ Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah berpahala”.

Para sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah SAW itu agak terkejut kerana mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala”.Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah, ‘jika seseorang melakukan zina maka mereka berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan yang halal bagi menghindarkan dari melakukan zina. Jika orang yang berzina itu menerima padah masuk neraka maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan menpunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumus ke lembah maksiat. Berdasarkan kepada pandangan ahli-ahli fiqh dan hadith Rasulullah SAW bahawa mereka yang berkemampuan dari segi zahir dan batin hendaklah mendahulukan perkahwinan dari ibadah yang lain kerana dikuatiri maksiat akan berlaku pada dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim). Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan al-Shafie golongan pemuda yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut ialah mereka yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun. Penekanan kepada usia ini kerana ianya berada pada peringkat segala-gala memuncak kecuali kematangan. Kebiasaan pada peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di dalam pelbagai perkara namun malangnya kebanyakan perhitungan mereka itu singkat belaka.

Justeru berdasarkan kepada tuntutan kehidupan ini, mimbar menyeru kepada ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang seusia sebegini memberi perhatian kepada keperluan mereka. Ingatlah bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan sirah Rasulullah  SAW bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran. Begitu juga kepada pihak berkuasa agar dipermudahkan segala urusan bagi pasangan yang telah mencukupi segala syaratnya demi menutup segala pintu  kemaksiatan.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Mimbar ingin berpesan kepada jemaah dan umat Islam sekalian, apabila seseorang itu berkemampuan membina rumah tangga maka hendaklah ianya bersegera bernikah. Perkataan al-nikah itu sendiri sebenarnya daripada lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka pasangan suami isteri dalam bentuk yang diizinkan syarak. Justeru, tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya”(Riwayat Muslim). Oleh itu dengan kewujudan pasangan yang sah dapatlah memelihara larangan Allah SWT dari segala kemungkaran yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata serta dapat mengawal pintu nafsu.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian terutama kepada ibu-bapa marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak samaada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya, dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sebagainya. Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa di rahmati Allah SWT. Ingatlah bahawa Islam mengharamkan penzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan secara yang sah. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ruum, ayat 21:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir”.

Jumaat, 10 Februari 2012

Koleksi Renungan - "AWAS JERAT VALENTINE"

Koleksi Khutbah Jumaat :



"AWAS JERAT VALENTINE"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “AWAS JERAT VALENTINE”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa  pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

          Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.  Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

       Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya  sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

      Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

           Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar  mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:
Pertama:      ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua:         umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya  
                     kaum  musyrik;
Ketiga:         menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat:     menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram
                     dalam  menyambut majlis tertentu; dan
Kelima:        meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
 

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Jumaat, 3 Februari 2012

Koleksi Renungan - “ KEUNGGULAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW”

Koleksi Khutbah Jumaat :


“ KEUNGGULAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW ”


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh. Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini maka mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “KEUNGGULAN KEPIMPINAN RASULULLAH SAW”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

Mafhumnya: “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.(Riwayat al-Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Rasulullah SAW  adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran “al-Amin” kerana keunggulan Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran “ al-Amin” ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Baginda.
Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan keunggulan dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.
Selain Abu Jahal, al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak bermaruah sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya antaranya ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun.
Menurut  Prof  Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain. kesemua watak-watak  pemimpin ini yang dirakamkan di dalam al-Quran memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan , mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain, yang akhirnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT di dunia dengan menjadi sehina-hina manusia.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Qur'an, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi SAW. Semua ini adalah amalan Islam untuk mengukuhkan keunggulan dan jati diri umat Islam selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi dan menipu diri sendiri.
Malahan keunggulan seorang pemimpin berkait rapat dengan imej dan amalan individu itu sendiri. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah keunggulan kepimpinan Rasulullah SAW membawa kepada terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT .Sebagaimana sabda  Rasulullah SAW:  “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka”.(Riwayat al-Bukhari).
Begitu juga umat yang senantiasa mengingati Rasulullah SAW dengan bersalawat kepadanya akan mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan kebajikan, dimakbulkan berbagai do’a, mendapatkan syafa’at dan selamat dari kebakhilan. Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya senantiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di hati sehingga ke akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati.”

Apa yang jelas, dalam ayat ini bahawa  kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT dan sebagai seorang pemimpin hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah dan mengaibkan Rasulullah SAW  dan umat Islam. Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul SAW pada 5 Februari ni di Masjid Putra, Putrajaya dan lain-lain tempat seluruh negara, marilah kita hadir bersama keluarga bagi menyemarakkan rasa kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai bukti mempertahankan martabat Rasulullah SAW.
Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan  yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut: Pertama: Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga dengan mencontohi Rasulullah SAW dan berpandukan syariat Islam, Kedua: Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup dan tidak beretika, ketiga: Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari akhirat, dan keempat:  Pemimpin yang unggul akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh masyarakat. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 2-3:
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya. ”