“ SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di
dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang
Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan
ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh
dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan
menyampaikan khutbah bertajuk: “ SATU
UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”.
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Bersempena
dengan sambutan Hari Anti Dadah peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012,
mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah merupakan punca
utama berlakunya jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat
dan negara. Menurut sumber yang diambil dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bagi
bulan Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru
di kesan dalam masa sebulan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar berlakunya
jenayah seperti mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi
adalah berpunca daripada dadah. Ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan,
melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran yang waras merupakan punca
kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah. Firman Allah SWT dalam Surah
al-Baqarah Ayat 195 :
bermaksud: “ Dan
belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja
mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya. ”
Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14
April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23 November 2006 memutuskan sebarang
penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ekstasy dan ketamin,
hukumnya adalah haram. Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakkan yang dibawa
oleh gejala dadah sangatlah besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang
terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling
malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan
di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakkan akibat
dadah tidak terhad hanya pada seorang individu yang menjadi penagih sahaja akan
tetapi kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang
menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara -mara
dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan
memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Pada prinsipnya
mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa
besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam
masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri
seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja
boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di
dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan
berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu
tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak
syariat Allah. Maka amat wajar sekali mimbar menyeru seluruh umat Islam, ibu
bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala
jenayah. Mimbar mengingatkan bahawa
pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam
usaha memerangi jenayah dan kemungkaran. Sabda Rasullullah SAW yang
diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:
Maksudnya: “Ingat!
Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad
seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah
hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)
Berdasarkan
hadith ini, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati
manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan
hati yang menjadi penghalang usaha ini
ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:
Maksudnya: “Wahai
Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah
hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana
ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari
jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan
mereka melupakan jalan Allah itu.”
Muslimin Yang Dikasihi
Sekalian,
Mimbar
ingin mengingatkan kepada penegak-penegak jenayah dan pengamal dosa besar,
jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran. Setiap
perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu
pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu
menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut. Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat
88-89:
Maksudnya: “Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia
akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.”
Mereka
yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut ialah mereka yang beriman dan beramal
kebajikan secara ikhlas. Allah SWT mengutus
berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan
nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia
menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi mereka
yang terlibat dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan
keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah SWT dalam surah
al-Qiyamah, ayat 29:
Maksudnya: “Serta kedahsyatan mati pun
bertindih-tindih.”
Mereka
yang yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak
mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika
menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada
dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan
batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika
menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan
itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika
dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segalanya perbuatan itu di
saat kematian. Masyaallah.
Muslimin Yang Dikasihi Allah,
Mengakhiri khutbah
mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa
masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah
memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu
ummah yang mendekatkan diri kepada Allah
SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya. Sebagai
ibu-bapa mimbar menyeru ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian
kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak
sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup
mereka dengan cara hidup yang sihat. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran
menghadapi sakaratul maut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan
kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian memperkukuhkan keimanan
kepada Allah SWT, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur,
menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar. Marilah kita memperbanyakkan
beristiqfar semuga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan
oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenug firman Allah SWT
dalam surah al-Isra’ ayat 7:
bermaksud: “Jika kamu
berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat
kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa
janji kali kedua,Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu;
dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali
pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan
sehancur-hancurnya. ”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan